Yassin Senario Tertekan, Mahu Selesai Tunggakan Sewa Rumah RM30,000 Cara Baik
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Senario iaitu Yassin Yahya hanya bersedia memberi kenyataan selepas isu tertunggak hutang sewa rumah lebih RM30,000 selesai.
Isteri pelawak itu, Farah Wahida Maharidan berkata, suaminya memerlukan sedikit masa untuk berhadapan dengan media kerana pada masa ini dia dalam proses untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan pihak tuan rumah secara baik.
"Kami memang memilih untuk tidak beri apa-apa kenyataan buat masa ini dan Insya-Allah apabila semuanya sudah selesai dia (Yassin) akan buat satu sidang media dalam masa terdekat ini.
"Sekarang dalam proses untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Farah berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kegagalan pelawak itu untuk menyelesaikan tunggakan sewa rumah lebih daripada RM30,000.
Kegagalan Yassin, 37, membayar RM1,450 sebulan menyebabkan tuan rumah berkenaan naik angin lalu melelong segala barangan milik pelawak itu.
Sementara itu, Farah berkata, Yassin kini berada dalam keadaan tertekan dan belum bersedia untuk memberi pendedahan dan menjelaskan perkara itu.
"Ya, keadaan dia sihat cuma agak sedikit tertekan dengan perkara ini dan belum bersedia untuk bertemu dengan sesiapa.
"Tentang tunggakan itu ada sedikit salah faham antara kami dan tuan rumah dan ia sedang diselesaikan secara baik," ujarnya. mStar Online
0 Response to "Yassin Senario Tertekan, Mahu Selesai Tunggakan Sewa Rumah RM30,000 Cara Baik"
Post a Comment